Selamat Datang ke Portal Rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Senarai Homestay di Malaysia
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Menghargai Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Dalam Membantu Industri Pelancongan, Seni Dan Budaya Yang Terkesan Akibat Pandemik COVID-19

Saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri, atas komitmen beliau untuk memastikan penggiat dalam industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini dibantu bagi memastikan mereka dapat kembali menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan, seni dan budaya negara.

Inisiatif-inisiatif untuk tujuan tersebut yang telah diumumkan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek sebentar tadi jelas membuktikan bahawa YAB Perdana Menteri amat mengambil berat dan prihatin akan setiap keluhan mereka yang tampil ke pejabat saya.

Antara yang dapat dimanfaatkan oleh pekerja, usahawan dan penggiat sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, ialah perluasan Program Subsidi Upah iaitu majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung.

Selain itu, Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. Namun perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Julai 2020 kelak.

Beberapa langkah cukai juga akan dilaksanakan. Antaranya ialah :-

1. Perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang telah diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena dibayar bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 September 2020 akan dilanjutkan tempoh penangguhan selama 3 bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020;

2. Pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi tempoh mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021;

3. Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021; dan

4. Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

YAB Perdana Menteri turut prihatin terhadap penggiat industri kreatif, hiburan dan acara. Saya juga mendengar keluhan daripada karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara yang merupakan antara penyumbang kepada sektor pelancongan. Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah sebanyak RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta.

Terima kasih YAB Perdana Menteri.

DATO' SRI HAJAH NANCY SHUKRI
MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA PUTRAJAYA
5 JUN 2020

Dikeluarkan oleh:
PEJABAT MENTERI
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-88917181
Website: www.motac.gov.my Email: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Facebook, Instagram & Twitter: @mymotac
Kemaskini Terakhir :