Selamat Datang ke Portal Rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

F.A.Q.
Contact Us
Complaints and Feedback
Sitemap

MOTAC Laksana Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Dan Kebudayaan Mengenai Belanjawan 2021

12 November 2020 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan secara atas talian. Sesi ini diadakan bagi mengulas dengan lebih terperinci mengenai Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan pada 6 November 2020 lalu, khususnya berkaitan dengan sektor pelancongan, seni dan budaya.

Sesi ini melibatkan beberapa organisasi dan persatuan utama daripada sektor pelancongan dan kebudayaan. Antaranya termasuklah Malaysia Airlines, Air Asia, Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA), Malaysia Tourist Guide Council (MTGC), Terengganu Nature Guide Association (TENAGA), Malaysian Bumiputra Travel Agent Association (BUMIPUTRA), Malaysian Association of Hotel Owners (MAHO), Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA), Persatuan Karyawan Malaysia dan Sutra Foundation.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh penggiat industri dalam sesi libat urus ini ialah mengenai program peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling), program PENJANA, prospek pemotongan cukai, pakej rangsangan pemulihan, bantuan kepada industri membeli-belah dan peruncitan, bantuan kepada pemandu pelancong serta peruntukan kepada bidang seni visual.

YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya semasa mempengerusikan sesi tersebut memaklumkan bahawa Kerajaan sangat memahami dan merasai situasi penggiat industri yang sangat terkesan dengan pandemik COVID- 19 ini dan akan berusaha memastikan industri ini terus kekal berdayasaing dan pulih dengan cepat melalui pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan yang akan dilaksanakan berdasarkan belanjawan yang telah diumumkan.

Jelasnya lagi, selain dari peruntukan yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kewangan semasa pembentangan belanjawan, terdapat beberapa peruntukan lain di bawah MOTAC khusus untuk membantu sektor pelancongan, seni dan budaya. MOTAC telah diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bagi tahun 2021. Ia termasuklah baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga, serta penyemarakan seni dan budaya. Turut termasuk dalam pelan pemulihan ini ialah potongan diskaun pengangkutan, diskaun membeli-belah dan perkhidmatan, diskaun pakej bagi frontliners serta Kempen Meet in Malaysia. Ini diharapkan dapat merangsang dan menyuntik perbelanjaan domestik secara konsisten dan seterusnya mewujudkan kesan gandaan ekonomi khususnya yang berantaian dengan sektor pelancongan, seni dan budaya.

Dato' Sri Hajah Nancy berharap semua pihak saling bekerjasama rapat dengan MOTAC agar usaha-usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan tersusun serta strategik dalam mengembalikan daya saing industri dalam tempoh yang lebih cepat. Sokongan padu dan kerjasama kolektif daripada semua pihak berkepentingan termasuk NGO dan penggiat industri yang berkaitan juga turut diharapkan demi kelangsungan sektor pelancongan, seni dan budaya negara.

Dikeluarkan oleh:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-88917181
Website: www.motac.gov.my Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Facebook, Instagram & Twitter: @mymotac
Last updated :