Dengar kandungan ini
Kecilkan saiz tulisan
Besarkan saiz tulisan
Cetak kandungan ini

Pelesenan

Saya berminat untuk membuka syarikat pelancongan, bagaimana prosedurnya?
Tuan perlu mengisi Borang 1- Permohonan Baru Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan dan menyertakan fi proses sebanyak RM100.00. Selain itu, terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan seperti dinyatakan di senarai semak permohonan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.motac.gov.my.

Adakah sebarang syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk memohon lesen perniagaan pengendalian pelancongan ini?

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Antaranya adalah mempunyai modal berbayar yang mencukupi mengikut kawasan yang ingin beroperasi dan pengalaman Ahli Lembaga Pengarah / Pemegang Saham dalam bidang pelancongan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.motac.gov.my.

Bagaimana syarat bagi pecahan peratusan saham dalam syarikat perniagaan pengendalian pelancongan?

Bagi pecahan peratusan saham, jika melibatkan pegangan warga asing adalah sebanyak 70% - Warganegara dan 30% - Warga asing. Terhad maksimum adalah 30% dan hanya bagi bidang Dalam Begeri (Inbound) dan Agensi Pengembaraan (Ticketing).

Adakah dibenarkan pegangan saham terdiri daripada syarikat/ koperasi?
Ya, dibenarkan syarikat/ koperasi mempunyai saham dalam syarikat perniagaan pengendalian pelancongan, namun perlu diteliti dari pecahan ekuiti asing (sekiranya ada).

Di manakah saya perlu merujuk untuk menegtahui segala peraturan yang patut dipatuhi oleh sebuah syarikat pernigaan pengendalian pelancongan?
Tuan boleh merujuk Akta Industri Pelancongan 1992 dan peraturan-peraturan di bawahnya bagi mengetahui segala peraturan yang perlu dipatuhi oleh sebuah sebuah syarikat pengendalian pelancongan.

Adakah dibenarkan perubahan Ahli Lembaga Pengarah / Pemegang Saham yang melibatkan di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera?
Sekiranya lesen syarikat diluluskan dengan peratusan Bumiputera, maka syarikat tidak dibenarkan mengurangkan / menghilangkan peratusan Bumiputera tersebut jika ingin melakukan perubahan. Namun, tiada sebarang syarat dikenakan di antara pecahan peratusan Bumiputera dan bukan bumiputera.

Jika saya ingin berpindah lokasi premis, adakah dibenarkan?
Setiap perubahan perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu. Dibenarkan sekiranya tidak di luar kawasan yang disyaratkan berpandukan modal berbayar.

Bagi permohonan lesen Agensi Pengembaraan (ticketing), adakah perlu mempunyai lesen IATA?
Tidak disyaratkan untuk kelulusan lesen Agensi Pengembaraan untuk mempunyai lesen IATA.

Berapakah tempoh masa kelulusan permohonan lesen baru perniagaan pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan?
Piagam Pelanggan bagi kelulusan setiap permohonan lesen baru perniagaan pengendalian pelancongan adalah 35 hari dari tarikh lengkap permohonan.

Berapa tahun kelulusan pembaharuan lesen?
Tahun kelulusan membaharui lesen adalah antara 1 tahun sehingga 3 tahun. Ia bergantung kepada syarat-syarat kelulusan membaharui lesen. Untuk maklumat lanjut syarat-syarat kelulusan, sila layari www.motac.gov.my.

Saya mempunyai syarikat sendirian berhad dan ingin memohon lesen bas persiaran / kereta sewa pandu. Bagaimana prosedurnya?
Syarikat yang ingin memohon lesen bas persiaran mestilah terlebih dahulu mempunyai lesen agensi pelancongan dari Kementerian Pelancongan. Selepas itu, baru boleh memohon lesen bas persiaran atau kereta sewa dan pandu.

Apakah syarat-syarat untuk memohon lesen bas persiaran / kereta sewa dan pandu?
Tuan perlu mengisi Borang 1 Permohonan Baru Lesen Bas Persiaran atau Borang 2 Permohonan Baru Lesen Kereta Sewa dan Pandu dan menyertakan fi proses RM50.00. Selain itu, tuan perlu menyediakan dokumen seperti yang dinyatakan dalam senarai semak permohonan. Senarai semak ini akan disertakan sekali dengan borang permohonan. Untuk maklumat lebih lanjut sila layari http://www.motac.gov.my.

Berapakah fi lesen kenderaan pelancongan?
Fi lesen bagi bas persiaran adalah RM60.00 setahun manakala fi lesen kereta sewa dan pandu adalah RM40.00 setahun.

Berapakah had usia yang dibenarkan untuk kenderaan pelancongan?
Had usia yang dibenarkan untuk bas persiaran adalah 12 tahun manakala kereta sewa dan pandu adalah 6 tahun untuk 1800cc ke bawah dan 8 tahun untuk 2000cc ke atas. Pacuan empat roda dibenarkan sehingga 10 tahun.

Saya hendak menggunakan kenderaan import sebagai kenderaan pelancongan. Adakah ia dibenarkan?
Kementerian tiada halangan sekiranya syarikat hendak menggunakan kenderaan import tetapi usianya akan dikira berdasarkan tahun diperbuat dan bukan tahun didaftarkan seperti yang digunakan untuk kenderaan lain.

Saya ingin memohon pengecualian duti eksais. Bagaimanakah prosesnya?
Permohonan perlu dibuat dengan Kementerian Kewangan dengan mengisi borang pengecualian duti eksais dan mendapat pengesahan dari Kementerian Pelancongan bahawa syarikat mempunyai lesen kereta sewa dan pandu.

Adakah saya boleh memohon pengecualian duti eksais untuk semua jenis kenderaan untuk dijadikan kereta sewa dan pandu?
Tak. Hanya kereta nasional sahaja yang layak untuk dikecualikan duti eksais.

Saya difahamkan bahawa pacuan empat roda juga boleh dikecualikan duti eksais. Adakah ia benar?
Ya. Walau bagaimanapun, pengecualian 50% duti eksais sahaja dibenarkan dan terhad kepada kenderaan yang dipasang di Malaysia.

Syarikat saya telah berpindah ke tempat lain dan telah pun diluluskan Kementerian. Walau bagaimana pun, alamat di lesen kenderaan pelancongan masih alamat yang sama. Adakah perlu ditukar?
Perlu. Tuan perlu membuat penyelarasan alamat dengan memohon ubah syarat lesen bas persiaran / kereta sewa dan pandu.

Saya telah diluluskan lesen bas persiaran kapasiti 27-40 penumpang. Walau bagaimana pun, saya ingin menggunakan bas persiaran kapasiti 44 penumpang. Apakah prosedurnya?
Tuan perlu memohon ubah bilangan tempat duduk dengan mengisi borang permohonan ubah syarat lesen atau surat kelulusan. Sila sertakan pelan badan bas yang diluluskan JPJ atau surat pendaftaran bas persiaran yang menunjukkan tempat duduk asal memang 44 penumpang (untuk kenderaan terpakai).

Permohonan baru Pemandu Pelancong tanpa sijil Kursus Mesra Malaysia, boleh atau tidak?
Kursus Mesra adalah wajib (kursus ini biasanya termasuk dalam modul Kursus Asas Pemandu Pelancong) dan sijil kursus tersebut perlu dilampirkan bagi permohonan baru. Walaubagaimanapun, keadaan-keadaan tertentu boleh dipertimbangkan.

Adakah Kursus Eco-Host wajib bagi permohonan baru TG dan adakah perlu menghadirinya sebagai syarat pembaharuan?
Kursus Eco-Host adalah wajib. Bagi permohonan baru tanpa sijil kursus ini, kelulusan bersyarat akan diberi dan pemohon wajib menghadirinya sebelum mengemukakan pembaharuan pada tahun berikutnya. Kursus ini hanya perlu diduduki sekali sahaja walaubagaimanapun digalakkan sebagai tujuan refresher.

Sekirannya lesen telah dibatalkan, apakah prosedur untuk memohon lesen TG semula?
Pemohon boleh dilesen semula tertakluk kepada syarat berikut:
  1. Menghadiri Kursus Refresher (city guide) / Kursus Eco-Host (nature guide)
  2. Mengaktifkan semula keahlian persatuan pemandu pelancong
  3. Menjalani pemeriksaan kesihatan
  4. Mengemukakan permohonan dengan mengisi borang 1 (Per 3)
Sekiranya CTRE tidak mencukupi (contohnya 2 CTRE sahaja), adakah pembaharuan lesen dapat diproses?
Pembaharuan masih dapat diproses dengan syarat pemohon dikehendaki mengemukakan sijil CTRE tersebut (mana-mana yang tidak mencukupi) dalam tempoh 3-6 bulan (bergantung dengan jumlah CTRE yang perlu dihadiri)

Adakah pertukaran Zon pemanduan dibenarkan bagi pemandu pelancong alam semulajadi setempat?
Pertukaran zon pemanduan adalah tidak dibenarkan. Pemohon hanya boleh melakukan pemanduan di tempat beliau menduduki Kursus Alam Semulajadi Setempat sahaja.

Adakah Pemandu pelancong alam semulajadi dibenarkan untuk membuat komentari dalam bas persiaran?
Komentari dalam bas persiaran adalah di bawah bidang tugas pemandu pelancong bandar. Pemandu pelancong alam semulajadi hanya dibenarkan membuat pemanduan di kawasan yang mempunyai produk-produk alam semulajadi sahaja.

Apakah syarat-syarat utama bagi warganegara asing untuk memohon lesen pemandu pelancong?
Warganegara asing boleh dilesenkan sebagai pemandu pelancong sementara tertakluk dengan syarat-syarat berikut:
  1. Lulus kursus Asas Pemandu pelancong/ Kursus Induksi / menghadiri sesi temuduga untuk menguji tahap kecekapan bahasa (asing) dan pengetahuan produk pelancong di Malaysia.
  2. Mendapat kontrak kerja (sepenuh masa) dengan mana-mana syarikat pengendalian pelancongan di Malaysia.
  3. Memegang pasport yang tempohnya masih sah.
  4. Menjadi ahli dengan persatuan pemandu pelancong yang diiktiraf oleh Kementerian.
Apakah fungsi ILP dan apakah tawaran kursus yang diberi?
Fungsi ILP menyediakan latihan atau kursus yang berkaitan dengan bidang pelancongan dan kursus yang disediakan kursus bertaraf diploma dan persijilan dan bercorak kemahiran.

Bagaimanakah cara untuk menubuhkan ILP?
Mereka yang berminat hendaklah menubuhkan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di bawah akta syarikat 1965.

Berapakah modal berbayar untuk menubuhkan syarikat untuk tujuan ILP?
Modal berbayar bagi penubuhan ILP ialah minimum RM200,000.00.

Bagaimana untuk saya mendapatkan borang permohonan dan berapakah fee pemprosesannya?
Borang permohonanan boleh didapati dari Kementerian Pelancongan, Bahagian Pelesenan dan Pejabat Pelesenan Wilayah juga boleh dimuat turun dari laman web Kementerian Pelancongan. Fee prosesan yang dikenakan ialah RM100.00 dalam bentuk bank draf atau postal order.

Bakal rakan kongsi saya (pemegang saham 50%) juga pemegang saham disebuah ILP yang telah dilesen. Bolehkah beliau memegang saham di ILP yang akan ditubuhkan ini?
Tidak dibenarkan kerana seorang individu tidak boleh memonopoli lebih dari satu syarikat dalam bidang yang sama.

Adakah pelesenan premis penginapan pelancong di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan?

Tidak. Kementerian Pelancongan hanya bertanggungjawab mendaftar dan mengelaskan premis penginapan pelancong. Pelesenan premis penginapan pelancong adalah di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Saya telahpun mendaftar di bawah Pendaftaran Projek Pelancongan dengan Kementerian Pelancongan. Adakah saya masih perlu mendaftar di bawah Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong?
Ya. Pendaftaran Projek Pelancongan mempunyai objektif yang berbeza dengan Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong. Pendaftaran Premis Penginapan Pelancong adalah untuk tujuan pengelasan dan inventori manakala Pendaftaran Projek Pelancongan adalah lebih kepada tujuan galakan insentif.

Adakah premis penginapan berbentuk "service apartment" perlu didaftar dan dikelaskan?
Terdapat 2 jenis penginapan berbentuk "service apartment" iaitu berbentuk "residential" iaitu melibatkan sewaan jangka panjang atau pemilikan bebas, maka ianya tidak perlu berdaftar dan dikelaskan. Sebaliknya, sekiranya "service apartment" itu berbentuk "commercial" iaitu tujuan penjualan perkhidmatan sepertimana yang ditawarkan oleh hotel-hotel lain, maka ianya perlu didaftarkan

Apakah pengkelasan bertaraf "Orkid"?
Taraf Orkid merupakan satu system pengelasan yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan permis penginapan berbentuk "budget" yang tidak dapat dikelaskan di bawah Skim Pengelasan Bintang.

Adakah premis penginapan pelancong kurang daripada 10 bilik perlu didaftarkan?
Ya. Pendaftaran premis penginapan pelancong diwajibkan ke atas semua premis penginapan sepertimana definasinya di dalam Akta Industri Pelancongan tanpa mengira jumlah bilik.

Apakah jenis aduan yang boleh saya kemukakan kepada Kementerian?
Aduan yang boleh dikemukakan kepada Kementerian adalah berkaitan dengan perkara berikut :
  1. Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOB TAB).
  2. Bas Persiaran dan Kereta Sewa Pandu.
  3. Institusi Latihan Pelancongan.
  4. Pemandu Pelancong.
  5. Premis Penginapan Pelancongan.
Bagaimanakah saya hendak mengemukakan aduan?
Anda boleh kemukakan aduan secara menulis, telefon, faks, ataupun melalui e-mail dan disertakan dengan nama dan alamat lengkap anda.

Apakah dokumen yang perlu saya sediakan semasa mengemukakan aduan?
Dokumen-dokumen yang seharusnya anda sertakan semasa mengemukakan aduan adalah yang berkaitan dengan invois pembelian pakej, jadual lawatan (itinerary), resit pembayaran, gambar atau apa-apa dokumen yang boleh membuktikan kesahihan aduan anda.

Berapa hari aduan saya dapat diselesaikan?
Sekiranya aduan adalah berkaitan dengan agensi luar, aduan anda akan diselesaikan dalam tempoh 3 hari bekerja dan sekiranya aduan anda berkaitan langsung dengan perkara-perkara di para 1, kami akan selesaikan dalam tempoh 21 hari bekerja.

Apakah jenis penguatkuasaan yang dijalankan oleh Kementerian?
Jenis penguatkuasaan yang dijalankan oleh Kementerian adalah seperti berikut :
  1. Penggelidahan ke atas Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOB TAB) yang berlesen dan tidak berlesen.
  2. Pemeriksaan ke atas kenderaan pelancongan yang berlesen dan tidak berlesen.
  3. Pemeriksaan ke atas pemandu pelancong yang berlesen dan tidak berlesen.
Bagaimanakah saya hendak mengenalpasti pegawai penguatkuasa Kementerian?
Pegawai Penguatkuasa biasanya akan menunjukkan kad kuasa yang ditandatangani oleh Menteri Pelancongan ketika menjalankan penguatkuasaan.

Apakah Akta yang digunapakai oleh Kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pengusahaan pelancongan?
Kementerian menguatkuasakan akta-akta dan peraturan berikut :
  1. Akta Industri Pelancongan 1992;
  2. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992;
  3. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Pemandu Pelancong) 1992;
  4. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan Institutsi Latihan Pelancongan) 1994;
  5. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Mengkompauan Kesalahan-Kesalahan) 1992;
  6. Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999; dan
  7. Peraturan-Peraturan Kenderaan Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Kenderaan Pelancongan) 2000.
Apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan oleh Kementerian sekiranya mana-mana undang-undang dan peraturan tersebut dilanggar?
Bentuk tindakan yang boleh diambil oleh Kementerian adalah seperti berikut :
  1. Pendakwaan di mahkamah.
  2. Tawaran Kompaun.
  3. Penggantungan Lesen.
  4. Pembatalan Lesen.

Hit Terakhir Dikemaskini Kongsikan Kandungan Ini
59983 10 Januari 2011